Info Terkini :

T-Team The Titans Tenang Dalam Duka

PASUKAN berstatus kelab, T-Team terus bergelut dengan pelbagai kontroversi dan masalah sejak kempen Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya Januari lalu.

Bermula dengan isu kontroversi ‘terowong Larkin’ 1 Februari lalu, peluang skuad The Titans untuk mara ke pusingan suku akhir Piala FA  terus lenyap apabila keputusan skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah meninggalkan perlawanan atas faktor keselamatan itu mengundang padah, setelah pasukan elit, Johor Darul Ta’azim diberi kemenangan Jawatankuasa Pertandingan FAM.

Insiden  itu terus menghantui pemain T-Team sehingga menjejaskan prestasi pasukan dan terpaksa berhempas pulas keluar daripada zon penyingkiran saingan Liga Super setelah menghuni tangga tercorot liga sejak saingan Liga Super bermula.


BAGAI RODA

Begitupun The Titans kembali bangkit menemui rentak sebenarnya selepas membenam cabaran Sime Darby pada 25 Mac lalu sekaligus melonjakkan diri daripada zon penyingkiran, namun nasib ‘malang’ terus membayangi pasukan apabila beberapa tonggak pertahanan terpaksa dipinggirkan kerana masalah kecederaan menjelang kunjungan Pahang, malam ini.

Sebelum ini hanya Hassan Basri Ahmad Ridzuan dan Sharil Faizal yang berada dalam senarai kecederaan namun kini pemain pertahanan terbaik  pasukan, Fabio Flor de Azevedo pula terpaksa direhatkan dan berkemungkinan tidak dapat beraksi sehingga akhir musim.

Pemain  kelahiran Brazil itu mengalami cedera tendon kaki kanan dalam aksi menentang LionsXII di Stadium Jalan Besar,  yang memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

Lebih memeritkan apabila  seorang lagi tonggak pertahanan, Marzuki Yusof yang masuk menggantikan Fabio, turut dikejarkan ke hospital selepas cedera di kepala akibat bertembung pemain LionsXII, Shafiq Ghani sejurus sebelum tamat aksi babak pertama.


MUKA BAHARU

Jelas musibah yang melanda The Titans terus mengganggu persiapan pasukan meneruskan saingan Liga Super, bagaimanapun Azraai  tetap menaruh keyakinan tinggi pasukan kendaliannya itu dapat mengatasi segala masalah melanda.

Malah beberapa perancangan telah dibuat termasuk mengikat bekas pemain tengah PKNS FC, Fazli Baharuddin dan pertahanan Terengganu, Nik Zul Aziz Nawawi menerusi pintu perpindahan pemain dalam memperkuatkan lagi pasukan.


DEBUT SULUNG

Difahamkan selain dua pemain tempatan itu, pasukan T-Team juga telah menandatangani kontrak bersama bekas pemain pasukan Bangkok Glass FC yang beraksi dalam Liga Thailand, Leandro Dos Santos bagi menggantikan rakan senegaranya , Fabio Flor dan bakal mempamerkan aski sulongnya ketika T-Team bertemu Pahang.

Azrai mengakui kehadiran tiga pemain itu memberi sinar baharu skuad kendaliannya terutamanya menjelang pertemuan penting bertemu Tok Gajah yang berada dipuncak liga.

Jelasnya, gandingan pemain tempatan iaitu kapten pasukan, Faizal Mohamad, Nik Zul dan berkemungkinan menurunkan Marzuki Yusof serta pemain import baharu, Leandro Dos Santos di posisi pertahanan.

“Buat masa sekarang, ini antara benteng pertahanan terbaik yang kita ada, kehadiran Fazli Baharuddin diharapkan mampu memperkuatkan pasukan terutama di posisi tengah,” katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.