Info Terkini :

T-Team Ganti Fabio Flor Dengan Leandro Dos Santos

KUALA TERENGGANU: Pasukan T-Team telah menggantikan pemain pertahanan import dari Brazil Fabio Flor dengan rakan senegaranya Leandro Dos Santos, dalam usaha melonjakkan pasukan itu daripada zon penyingkiran Liga Super musim ini.

Meskipun belum sampai detiknya, T-Team mengorak langkah merombak barisan pemain import serta menambah baik struktur pasukan yang sedia bagi mengharungi cabaran pusingan kedua musim Liga Super.

Selepas 11 perlawanan, T-Team kini menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan.

Bagi mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan, pasukan itu kini dalam keadaan terdesak untuk menguji beberapa calon import baharu sebelum jendela perpindahan pertengahan musim berakhir 22 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rashid Jusoh berkata Santos, bekas pemain kelab Bangkok Glass FC dalam liga Thailand, telah menandatangani kontrak bersama T-Team dalam majlis ringkas di sini semalam.

"Dia (Santos) datang ke sini dua hari lepas dan beliau telah berjaya lulus ujian yang ditetapkan oleh T-Team," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rashid mengakui pasukan berstatus kelab itu terus bergelut dengan pelbagai masalah termasuk barisan pemian import yang kurang menyerlah sehingga tidak begitu selesa menghadapi kempen Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, beliau yakin segala masalah pasukan itu akan selesai apabila mengisi kuota tiga pemain tempatan dan dua pemain import yang dibenarkan pada jendela perpindahan pertengahan musim ini.

"Kita masih ada peluang untuk memperbaiki kedudukan dan seterusnya mengejar pasukan-pasukan yang berada di atas," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasinya, Syarizan Mohd Zain berkata mereka berhasrat untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang West Bromwich Albion, Nicolas Anelka, yang dilepaskan oleh pasukan Liga Perdana Inggeris itu, bulan lepas.

Beliau berkata pihak T-Team sememangnya bercadang untuk mengambil Anelka namun semua itu masih dalam perbincangan bersama agen yang juga merupakan abang kepada pemain kelahiran Perancis itu.

"Kita berharap dia dapat bersetuju dengan terma dan syarat kontrak pemain bintang ternama ini dalam masa terdekat kerana mengejar tarikh tutup perpindahan.

"Bagaimanapun pada sesi perbincangan, terdapat sedikit halangan terutama berhubung soal gaji tetapi ia sama sekali tidak menghalang kami dari terus mengejar untuk mendapatkan khidmat Anelka," katanya.

"Kita juga memperoleh maklumat bahawa beberapa kelab tidak dapat memenuhi permintaan gaji Anelka. Secara jujur, permintaan gaji yang diminta agennya masih dalam jangkauan kami," katanya. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.