Info Terkini :

Masa Rajagobal Selepas Suku Akhir Piala Malaysia

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap masa yang diberikan kepada Datuk K Rajagobal untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan bagi aksi kelayakan Piala Asia 2015 dengan Bahrain pada 15 Oktober ini mencukupi biarpun tempoh latihan pusat bertembung dengan aksi suku akhir Piala Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Datuk Afandi Hamzah berkata, perancangan jadual Piala Malaysia dibuat dengan memberi keutamaan kepada skuad kebangsaan yang memulakan latihan Selasa lalu.

“Kita berada dalam dua situasi. Pertama, mahu menamatkan Liga Malaysia mengikut jadual dan dalam masa yang sama mengambil kira pembabitan skuad kebangsaan dalam kelayakan Piala Asia.

“Apabila perlawanan suku akhir Piala Malaysia berakhir esok (hari ini), semua pemain yang berada dalam senarai skuad kebangsaan akan mula menjalani latihan.

“Jadual Piala Malaysia ini diatur dengan memberi keutamaan kepada pasukan kebangsaan membuat persiapan kerana sebab itu kita menangguhkan saingan Piala Malaysia apabila tamat perlawanan suku akhir,” katanya semalam.

Dalam laporan akhbar semalam, bekas pemain kebangsaan Reduan Abdullah mempersoalkan tindakan FAM yang meneruskan aksi pusingan kedua Piala Malaysia yang berlangsung semalam dan hari ini sedangkan skuad kebangsaan sudah memulakan latihan pusat Selasa lalu.

Pengkritik bola sepak itu berpendapat adalah wajar JKPT menangguhkan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia bagi membolehkan semua 28 pemain yang dipanggil Rajagobal menjalani latihan.

Disebabkan perlawanan Piala Malaysia itu, Rajagobal hanya boleh memulakan latihan dengan 11 pemain yang tidak terbabit dengan kempen kejohanan itu manakala selebihnya akan hadir esok.

“Kita mengambil kira semua aspek dan keutamaan sentiasa diberikan kepada pasukan kebangsaan dan saya fikir masa yang diberikan bersesuaian,” kata Afandi yang juga Naib Presiden FAM.

Rajagobal akan mengumpul semua 28 pemain esok dan akan terus berlepas ke Shenzen, China bagi aksi persahabatan antarabangsa dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum misi sebenar menentang Bahrain. - Sumber

Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.