Info Terkini :

Khairy Jamaluddin Cabar Harimau Malaya

KUALA LUMPUR - Atas kertas, Bahrain mungkin terlalu kuat buat Harimau Malaya pada perlawanan pusingan kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 pada 15 Oktober ini.

Namun, jangan sama sekali mengibarkan bendera putih sebelum berjuang, sebaliknya tampil beraksi dengan semangat patriotisme yang tinggi.

Itulah cabaran dan kata-kata semangat daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyeru Harimau Malaya bangkit melenyapkan segala kritikan dan mengejutkan Bahrain, pasukan yang berada di ranking 121 dunia dan 17 di Asia.

Jelas Khairy, beliau pada masa yang sama memandang serius perlawanan dengan Bahrain walaupun tahu tidak banyak harapan diletakkan kepada pasukan kebangsaan memandangkan prestasi goyah banyak dipamerkan oleh anak-anak buah Rajagobal sepanjang tahun 2013.

Beliau mahu skuad Harimau Malaya menjadikan kejayaan 'pasukan adik' Harimau Muda pada Pestabola Merdeka sebagai azimat penting.

''Jangan ambil mudah pertemuan dengan pasukan dari Timur Tengah ini kerana mereka adalah antara kuasa besar bola sepak di peringkat Asia dan tidak boleh nafikan mereka mempunyai kekuatan yang tersendiri.

''Seruan saya kepada pasukan bola sepak kita agar mereka dapat tonjolkan yang terbaik walaupun semua orang tahu prestasi mereka kini tidak berapa konsisten sejak kebelakangan ini.

''Mereka perlu memastikan kesinambungan pasukan remaja kita yang memenangi Pestabola Merdeka, baru-baru ini mampu diteruskan dengan menghadirkan kejayaan dalam perlawanan ini nanti (menentang Bahrain),"katanya yang ditemui selepas sesi sembang bersama Utusan online di Ibu Pejabat Utusan Melayu di sini, semalam.

Khairy juga amat prihatin dengan nasib yang dialami oleh Rajagobal apabila hanya dapat mengumpulkan para pemainnya pada dua hari lalu selepas saingan suku akhir Piala Malaysia berakhir sedangkan lawan mereka, Bahrain berada dalam keadaan yang jauh lebih bersedia apabila dapat mengumpulkan semua pemain lebih awal iaitu pada 30 September lalu.

Walaupun begitu, beliau berharap perkara itu tidak dijadikan alasan oleh para pemain dan menagih mereka dapat berikan prestasi yang sama ketika bermain dengan pasukan negeri apabila menyarung jersi keramat Harimau Malaya.

''Saya tidak nafikan para pemain masih berada dalam kehangatan saingan Piala Malaysia dan kepenatan di samping ada pemain berdepan masalah kecederaan namun suka saya mahu ingatkan para pemain serta jurulatih di peringkat kelab, tugas kepada pasukan negara perlu diberi keutamaan.

''Tidak timbul soal berat hendak bermain untuk pasukan negara, mereka semua mesti tunjukkan semangat patriotisme yang tinggi kepada negara seperti mana prestasi yang mereka pamerkan bersama pasukan kelab," katanya.

Harimau Malaya yang mengumpul tiga mata hasil daripada satu kemenangan dan satu tewas daripada dua perlawanan, tiada pilihan lain selain mengambil kesempatan beraksi di tempat sendiri meraih tiga mata penuh ketika menentang Bahrain.

Jika menang, Malaysia akan kembali mencabar dua kedudukan teratas dengan berbaki tiga perlawanan sekali gus membuatkan Rajagobal pasti lega seketika selepas dilemparkan pelbagai kritikan pada musim ini selain berada dalam situasi tidak menentu soal kontraknya yang akan berakhir pada hujung tahun ini. - Sumber
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.