Info Terkini :

FAM Nasihatkan PBNJ Beri PBSNT Tiket Lebih

KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa lebih banyak tiket diperuntukkan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk penyokong mereka menyaksikan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau telah menghubungi Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya mengenai hal itu untuk diselesaikan secara baik.

Katanya, walaupun PBNJ memperuntukkan 100 keping tiket untuk penyokong Terengganu tetapi jumlah itu masih terlalu sedikit, namun dalam masa sama pihaknya memahami hak PBNJ sebagai tuan rumah.

"Setakat ini, PBSNT telah menghantar surat kepada PBNJ untuk meminta lebih banyak tiket diperuntukkan kepada penyokong Terengganu kerana jumlah 100 keping yang diberikan terlalu sedikit.

"Saya telah menghubungi Setiausaha PBNJ bagi mendapatkan penjelasan dan setakat ini belum ada apa-apa maklum balas daripada mereka, mungkin pada hari esok (hari ini) saya akan tahu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Hari-hari terakhir menjelang perlawanan suku akhir kedua antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Terengganu pada Khamis ini sekali lagi hangat apabila PBSNT kelmarin mendakwa penyokongnya hanya diperuntukkan 30 keping tiket untuk menyaksikan perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru itu.

PBNJ kemudian menafikan kenyataan itu dan berkata mereka menyediakan 100 keping untuk penyokong pasukan pelawat.

Sebelum ini Terengganu 'menang' dalam isu tarikh perlawanan yang sepatutnya berlangsung Sabtu lalu. Jadual perlawanan sebelum ini telah dipinda ke Jumaat ini apabila JDT membuat rayuan sebelum Terengganu membantah kepada FAM, yang akhirnya mengubah tarikh perlawanan dengan mempercepatkannya sehari.

Berdasarkan penjelasan Hamidin, beliau mengakui JDT sukar memberikan jumlah tiket yang banyak kepada penyokong Terengganu memandangkan kebanyakan tiket sudah diagihkan kepada penyokong tuan rumah.

"Fahmy menjelaskan pada saya, kebanyakan tiket telah pun diagihkan kepada penyokong di setiap daerah di Johor dan itu menyebabkan mereka hanya boleh berikan 100 keping kepada Terengganu.

"Namun, masih ada harapan isu ini dapat diselesaikan secara baik memandangkan masih ada tiket yang dijual secara terbuka pada hari esok (hari ini) dan Khamis, kemungkinan mereka akan memperuntukkan sedikit kepada Terengganu setelah mendapat permintaan PBSNT," katanya.

Mengulas peraturan yang terdapat di dalam Statut FAM yang menetapkan setiap pasukan pelawat wajar diberikan lapan peratus daripada jumlah keseluruhan tiket atau kira-kira 2,000 keping dalam isu ini, Hamidin mengesahkannya tetapi menjelaskan bahawa perkara itu tidak pernah dikuatkuasakan.

"Selama ini, semuanya bergantung kepada budi bicara tuan rumah berapa banyak mereka mahu berikan kepada penyokong lawan dan perkara ini tidak pernah menjadi isu besar.

"Memang ada peraturan jumlah lapan peratus diperuntukkan kepada penyokong lawan tetapi setakat ini kami tidak menguatkuasakannya," katanya.

Sementara itu Setiausaha Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd. Azmi Wan Ngah melihat apa yang cuba dilakukan oleh JDT seolah-olah mahu membalas dendam ekoran keputusan FAM untuk tidak meneruskan perlawanan pada Jumaat ini.

Katanya, tindakan PBNJ yang hanya memberikan 100 tiket kepada mereka dilihat tidak adil kerana PBSNT memberikan 400 tiket kepada para penyokong JDT untuk menyaksikan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 3 Oktober lalu. - UTUSAN MALAYSIA
Share this article :
Share this Article on :
PERINGATAN: SkuadPenyu.Blogspot.Com tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Comments
0 Comments
 

web statistics
Sports ExactSeek: Relevant Web Search My Zimbio Top  blogs My Ping in TotalPing.com
© Copyright Skuad Bola Sepak Negeri Terengganu 2013 -2014 | Design by Hamba Allah.